Kenali saya; W.Kursiah Awang

 Bersama suami tercinta di Taman Laut, Pulau Redang

           Seorang guru. Surirumah bekerjaya. Ibu kepada 10 orang anak 4 putera dan 6 puteri. Berasal dari Kelantan tetapi bermestautin di Besut, Terengganu. Berpengalaman mengajar sastera Melayu, Bahasa Melayu dan Komsas menengah atas selama 30 tahun. Hobi membaca dan menulis karya kreatif. 

           Berminat dalam bidang penulisan, satu bidang yang sentiasa segar dan mencabar. Mempunyai hobi yang menguntungkan. Terhibur dan menghibur. Sesekali menyebabkan ada hati yang terguris. Bukan menyindir tapi mungkin ada yang terasa. Menyampaikan ilmu dan maklumat secara santai. Cenderung untuk mengajak pembaca berfikir. Bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman. Tidak suka mendekati manusia yang hipokrit dan oppurtunis.

           Berpengalaman luas sebagai pendidik. Pernah mengajar di SAB, Chemor Perak, SIS Kemaman, SSAJ dan SMKT Kluang Johor, SMTB dan SMK Seri Nering Besut, Trg. Mempunyai ramai anak didik serata tanah air. Ada yang masih ingat dan ada yang sudah lupa. Jauh perjalanan, banyak pengalaman. Lama hidup banyak yang dirasa. Menggarapkan pengalaman dan pemerhatian dalam bentuk sajak, cerpen dan novel untuk tatapan semua.

          Sedang mengumpulkan sajak-sajak yang dicipta seawal tahun 1970-an hingga kini untuk dibukukan dalam antologi puisi ‘Selaut Rasa’. Mencipta lebih 100 buah sajak. Sudah menghasilkan dua buah buku antologi cerpen berjudul ‘Paranoid’ dan ‘Impian Nursiha’. Sebanyak 7 manuskrip novel telah siap dihasilkan. Novel ‘Bebaskan Aku’ karya pertama bakal diterbitkan oleh Alaf 21 menjelang 2010. Insya-Allah.

         Masih menaruh harapan. Banyak perkara yang bermain-main dalam kepala masih belum menjadi nyata. Impian menggunung untuk menulis buku ‘best seller’. Semoga impian dan cita-cita akan menjadi nyata. Setelah berpulang ke rahmatullah nanti, ada buah tangan dan kenangan yang diabadikan untuk tatapam mereka yang ditinggalkan. Amin!