Minggu Pertama yang ceria
Posted by W.KursiahJan 8
Hari ini genap seminggu @ lima hari mengajar dalam penggal 1 sesi 2010. Setiap waktu telah diisi dengan P&P yang memberangsangkan. Saya berasa seronok apabila dapat memancing minat pelajar untuk memberi perhatian dan mengambil bahagian secara aktif dari minit pertama hingga ke akhirnya.
Mengajar pelajar baru lebih menguja. Mereka juga teruja untuk menimba ilmu daripada guru lama yang baru mengajar mereka. Maklum balas yang diterima juga cukup untuk melonjakkan kegirangan. Apatah lagi makluman positif disampaikan sendiri oleh ibu dan bapa anak didik saya. Setidak-tidaknya, saya berlapang dada melestarikan khidmat. Terbukti kini, orang lama masih boleh memikat perhatian pelajar untuk meneruskan perjuangan mencapai A+ dalam sukjek yang diajar.
Anak didikku sekalian. Perjalanan kita masih panjang. Target yang ingin dicapai masih jauh melangit. Namun tiada salahnya jika dari sekarang kita memasang niat dan azam untuk mengutip seberapa banyak bintang. Cikgu berjanji akan mencanai minda kamu dengan ilmu yang bernilai tingi. Apa yang penting, kamu sentiasa bersedia untuk mengambil bahagian aktif. Ikut apa yang cikgu ajar dan patuhi apa yang cikgu suruh. Kepada mereka yang masih lalai dan leka, ayuh! Bangkit segera. Jangan jadi seperti mereka yang gagal menilai intan ataupun kaca.
Semangatku masih membara meskipun tercalar sedikit disebabkan beberapa perkara yang tidak diduga. Namun saya masih berpandangan positif bahawa setiap suatu perkara yang berlaku merupakan ujian Allah untuk menduga tahap kesabaran kita. Sekali lagi saya rasakan maruah diri tercalar. Mungkin sesetengahnya tidak nampak atau terlepas pandang. Pada yang bertanya, saya seringkali membalas semula.
“Siapalah saya!”
Hari pertama, saya bagaikan orang Nomad. Saya masih tercari-cari identiti diri dan nilai harga diri. Saya seringkali muhasabah diri. Mereka yang pandai mentafsir, dapat melihat diri ini bagai kucing jatuh anak. Pada mereka yang kaya rasa empati, datang bertemu mata untuk meluahkan rasa simpati. Mungkin ingin berkongsi masalah dan meluahkan rasa bersalah. Kenapakah saya masih sanggup membiarkan diri berada dalam keadaan sedaif ini?
Keadaan sebenar saya ibarat langit dengan bumi. Bilik tidur saya pun seluas sebuah rumah teres.
Namun saya pasrah dan menyedari bahawa di sisi Allah s.w.t makhluk Allah sama sahaja.

Leave a Reply