Hari Pertama yang Cemerlang, Hari Semalam yang Suram
Posted by W.KursiahJan 4
Hari pertama sesi persekolahan 2010 ditempohi dengan cemerlang. Berinteraksi dengan pelajar baru kelas 5Sains1 dan 5 Sains 2 amat memberangsangkan. Semua ahli kelas 5Sc1 meletakkan sasaran mencapai A+ untuk BM SPM 2010. Harapan saya, majoriti pelajar 5Sc2 dan 5A pun begitu. Cikgu bangga dengan semangat dan azam tahun baru kamu.
Sesi pengenalan diri berlangsung dalam suasana akrab dan harmonis. Set induksi, guru memperkenalkan diri. Siapakah saya? Apakah yang anda tahu tentang diri saya? Ketahuilah apa yang saya suka dan pantang larang yang patut dihindari. Saya mempunyai visi dan misi yang amat jelas selari dengan amanah yang tersangkut di pundak. Ketahuilah, saya pernah membakar jambatan agar tidak berpeluang untuk berpatah balik ke belakang.
Bukan tujuan meninggi diri, sekadar untuk menyatakan pendirian dan hasrat hati. Individu yang normal mempunyai harapan dan impian selari dengan visi dan misi organisasi yang diwakili. Visi dan misi kami serupa iaitu melahirkan pelajar cemerlang menjelang 2011. Cemerlang akademik, cemerlang sahsiah diri, akhlak dan juga kokurikulum akademik. Kenapa 2011?
Menjelang 2011, usaha keras sepanjang tahun 2010 baru menunjukkan hasil. Keputusan SPM 2010 bakal diumumkan biasanya pada akhir Februari 2011. Namun pengisian 2010, mesti dihiasi dengan bunga-bunga cemerlang. Potensi mereka digilap, seawal hari pertama persekolahan. Menegur setiap perlakuan yang salah, menasihati mereka yang masih alpa dan mamai. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak sedar bahawa fahaman dan tabi’i semulajadi amalan mereka selama ini adalah salah dan perlu penambahbaikan. Tuntasnya, sesi pengenalan diri lebih menjurus ke arah latihan lisan, bertutur Bahasa Melayu standard agar cemerlang ULBS. Tinggalkan sekejap bahasa loghat yang kita banggakan demi menjana kecemerlangan SPM.
Dalam pada itu, saya masih mengharapkan usaha keras 2009 membuahkan hasil. Tidak sabar rasanya untuk melihat keputusan SPM 2009. Adakah janji-janji dan kerja keras pelajar 5T2 menepati perancangan yang telah kami lakarkan bersama? Insya-Allah. Sekiranya impian murni kita menjadi kenyataan, cikgu tidak ragu-ragu untuk belanja kamu makan. Masih ingat di mana lokasi pilihan kita?
Lokasi saya menjelang tahun 2010 sudah berubah. Ibarat penghuni rumah setinggan, kehidupan semasa tiada jaminan masa hadapan. Sukar untuk membuat perancangan harian yang mantap, tanpa kediaman yang tetap. Gusar memikirkan keselamatan harta milik peribadi takut dicerobohi. Namun saya sentiasa sedar diri dan akur bahawa kehidupan awal saya dari kalangan orang susah. Saya segera muhasabah diri bahawa disebabkan kehidupan yang susahlah maka saya menikmati kemewahan seperti yang dikecapi kini. Namun saya perlu berusaha lagi untuk keluar dari kemelut ini.
Sesekali timbul hasrat untuk bersara awal dan menceburi bidang lain yang membolehkan kita menjadi bos untuk diri sendiri. Pemikiran bercapah. Sekiranya saya mementingkan diri sendiri, sudah lama saya angkat kaki. Setelah ditimbang kembali, alangkah ruginya ilmu yang telah dikuasai dan diperturunkan lebih 30 tahun lalu terapung begitu sahaja. Memikirkan keperluan umum, saya masih membiarkan diri, menjadi lilin yang membakar diri demi menerangi yang lain. Lumrah hidup seorang guru sememangnya begitu. Namun saya harus bangkit dan membuat anjakan paradigma agar tidak ada siapapun yang rugi. Pantang pejuang meletakkan senjata sebelum berjuang.
Pada hari pertama 2010, saya bangkit dengan azam menggunung untuk mengutip bintang-bintang seberapa banyak yang mungkin. Biarpun bintang-bintang itu sekadar menghiasi dada sendiri, namun saya berasa amat berpuas hati. DD lelaki pertama negeri Terengganu telah saya lahirkan. Melihat kejayaan putera sulung dalam usaha saya membina kerjaya untuk keluarga merupakan kepuasan berganda. sekali lagi saya akur. Sebagai seorang ibu dan guru, saya harus sentiasa berkorban. Saya perlu menyalakan lilin itu untuk menunjuk arah agar laluan mereka menjadi mudah dan terarah. Saya perlu menyokong gagah agar tidak menjadi sokong yang membawa rebah.
Sampai saat ini saya masih berada di sini. Saya pasrah tanpa mengaku kalah! Di penghujung impian saya akan buktikan bahawa, impian saya bukan angan-angan Mat Jenin. Berjuta-juta bintang bakal mengerdip di tabir langit dunia!

Leave a Reply