Selamat menyambut tahun baru 2010. Setiap kali menyambut tahun baru, kita selalunya membuat azam baru. Ataupun paling tidak, kita memasang niat untuk membuat perubahan dalam hidup agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Saya juga mempunyai azam baru. Ingin menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang pendidikan dan juga perniagaan. Pendidikan merupakan tugas dan tanggungjawab utama disandang sejak lebih 30 tahun dahulu. Manakala perniagaan merupakan 9/10 sumber rezeki. Kedua-dua bidang ini saling berkait rapat. Menghadiri kursus inkubator keusahawanan menjana nilai tambah yang sangat berharga sebagai pembuka tirai 2010.Bertugas sebagai pendidik juga ibarat menceburi bidang perniagaan. Kita mempunyai  aset dan ada peminat yang akan membeli hasil kreativiti kita. Segala kerja buat kita sentiasa dipantau. Untung dan rugi berlaku setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Kita dikira beruntung sekiranya ramai dalam kalangan anak didik kita lulus dengan cemerlang dan begitulah sebaliknya.

Sedarkah kalian, peranan dan tanggungjawab seorang guru seringkali diperlekehkan? Apabila melihat kita berjaya ada sahaja yang ingin menjatuhkan? Analoginya, pelajar dikatakan cemerlang kerana individu tersebut sememangnya pandai sedangkan guru seringkali dipersalahkan apabila ramai pelajar gagal. Alahai!

Sedarkah kita, sejak dilahirkan kita diamanahkan untuk mendidik, mengajar dan belajar? Pendidikan sepanjang hayat harus dimanfaatkan oleh semua orang. Sepanjang masa kita belajar dan mengajar menangani perubahan. Setiap orang harus memikul tanggungjawab sebagai agen perubahan, paling tidak memacu perubahan diri dan keluarga.Perubahan ke arah kebaikan bukannya merosakkan atau memudaratkan diri dan persekitaran. Sesuatu yang amat klise, setelah kita terbukti berjaya, barulah orang nampak kejayaan kita. Jadi, tonjolkan kehebatan yang ada pada diri kita dahulu demi mempengaruhi komuniti luar. Setujukah anda?

Sepanjang masa kita sepatutnya menjadi teladan yang disegani oleh sesiapa sahaja. Kita harus buat perubahan dan tunjukkan kredibiliti kita sebagai agen perubahan. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Persetankan mereka yang buta ilmu dan jahil dalam membuat penilaian. Orang jahil ini, sebenarnya mereka tahu tapi suka berselindung disebalik lalang sehelai. Butiran percakapan mereka seringkali menegakkan benang yang basah. Mereka seringkali menjulang ego. Pedulikan mereka yang oportunis. Golongan ini seringkali mengambil kesempatan daripada sesuatu keadaan terutamanya untuk kepentingan peribadi.

Oleh itu, azam tahun baru saya pada tahun 2010 ini ialah untuk mencipta kecemerlangan  bagi diri sendiri, keluarga, anak didik dan institusi yang saya wakili serta komuniti setempat. Kalau berada jauh tu amat sukar untuk membuat pemantauan. Tidak terjangkau oleh tangan. Apa yang sahih, saya telah diamanatkan untuk mengajar kelas 5sains1, 5sains2, 5A dan 4A. Wah! Mengajar Bahasa Melayu bagi 3 kelas peperiksaan merupakan satu cabaran yang hebat. Kelas-kelas awal pula tu! Mampukah saya menggilap modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang? Bolehkah mereka mencapai A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM? Jawapannya pasti boleh sekiranya ada komitmen bersepadu. Guru mengajar dan pelajar belajar. Sokongan rakan-rakan, ibu bapa dan pihak pentadbir amat perlu.

Tahun 2010 merupakan tahun kreatif dan inovatif. Sekiranya inginkan kejayaan dalam erti kata yang sebenarnya, semua pihak harus kreatif dan inovatif. Apa maksudnya?  Mengikut kamus Dewan Edisi Ketiga muka surat 711, kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli. Contoh ayat: Kita harus mengerah seluruh tenaga kreatif untuk menghasilkan karya seni yang benar-benar bermutu tinggi. Kreativiti bermakna kemampuan(kebolehan) mencipta, daya kreatif dan kekreatifan. Kredibiliti pula bermaksud sifat boleh dipercayai atau diyakini, kebolehpercayaan. Saya berasa amat yakin bahawa diri ini mempunyai kredibiliti.

Inovatif pula bersifat inovasi maksudnya sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dll yang baru. (Rujuk Kamus Dewan Edisi Ketiga m.s 493). Makna yang kedua ialah perihal mengadakan (tindakan dan sebagainya) atau memulakan sesuatu yang baru. Orang yang melakukan inovasi disebut inovator. Golongan guru berperanan sebagai inovator pendidikan. Saya juga merupakan inovator dalam bidang pendidikan.