Perasaan Marah Menguji Kesabaran Kita
Posted by W.KursiahDec 24
Marah merupakan sejenis penyakit hati yang menjejaskan organ dalaman yang lain. Jika perasaan marah tidak dapat dikawal, bakal mengundang padah. Ada yang terkena angin ahmar (strok), darah tinggi naik secara mendadak, Hypertensi dan serangan penyakit jantung ketika sedang marah. Kesannya amat buruk pada diri sendiri dan tempiasnya menyentuh hati individu yang lain. Hubungan baik bakal menjadi renggang. Suasana yang harmonis juga bertukar menjadi suram. Sebaris gurindam berbunyi; perasaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.
Mengikut kamus Dewan Edisi Ketiga m.s. 860, marah bermaksud berasa panas hati kerana ditipu, (dihina dll), perasaan panas hati, berang, gusar, murka. Contoh ayat: Ayah dan ibunya marah kepadanya kerana suka menipu dan bercakap bohong. Dia berasa sangat marah apabila dihina di khalayak ramai.
Memarahi bermaksud marah kepada, memberangi, menggusari, Contoh ayat: Ibu memarahi anaknya yang bercakap bohong. Budak-budak itu dimarahi oleh ibunya kerana suka lepak dan membuang masa. Dia memarahi kawan baiknya kerana menikamnya dari belakang. Perkataan memarahkan bermaksud naik marah kerana sesuatu, menyebabkan jadi (naik) marah. Contoh: Perbuatan rakan-rakannya yang bersikap talam dua muka itu memarahkannya benar.
Marahan bermaksud enggan (tidak mahu) bercampur dengan orang lain kerana marah. Contoh ayat: Marahannya menjadi-jadi sehingga sanggup mengasingkan diri menjadi kera sumbang. Kemarahan menceritakan perihal marah, keberangan, kegusaran. Contoh ayat: Sikap pilih kasih dalam agihan bantuan banjir menimbulkan kemarahan orang kampung. Amalan memilih kroni dalam urusan kenaikan pangkat menimbulkan kemarahan banyak pihak terutama golongan senior dan rajin bekerja.
Pemarah bermaksud orang yang cepat marah atau lekas marah. Contoh ayat: Suaminya seorang pemarah dan panas baran. Kemarah-marahan pula bermaksud sangat marah.
Sebenarnya Allah cetuskan perasaan marah dalam hati seseorang untuk menguji tahap kesabaran. Sabar merupakan separuh daripada iman. Orang yang beriman akan cuba sedaya upaya untuk menahan kemarahan. Oleh sebab itu, ada beberapa petua yang boleh diikuti untuk mengawal perasaan marah. Apabila timbul sahaja perasaan marah, hendaklah beristighfar berkali-kali, agar syaitan yang mencetus api kemarahan kita itu betcelidar lari. Kalau kita sedang berdiri, digalakkan duduk seketika. Sekiranya gagal, digalakkan berbaring. Tidak berjaya juga, pergi ambil air sembahyang dan lakukan sembahyang sunat dan berdoa sesudahnya ataupun ketika sujud. Adukan segala permasalahan yang dihadapi kepada Allah dan berdoalah dengan doa yang baik-baik. Sesungguhnya Allah akan menolong orang yang dizalimi.
Dalam menangani perasaan marah, kita tidak digalakkan meluahkan perasaan marah kepada orang lain nescaya kita akan mendapat lebih ramai musuh. Mungkin ada dalam kalangan mereka merupakan batu api, ataupun orang yang suka bermuka-muka. Majoriti manusia sangat hipokrit.
Langkah terbaik ialah mengadu kepada Tuhan. Allah Maha mendengar lagi mengasihani. Sesudah itu bacalah ayat-ayat suci al-Quran dengan tafsirnya sekali agar kita memahami apa yang kita baca. Membaca al-Quran merupakan salah satu cara mengubati perasaan marah yang paling mujarab.
Ketahuilah bahawa kemenangan berpihak kepada orang yang sabar menahan kemarahan. Membina hubungan yang akrab dan harmonis patut dijadikan agenda utama untuk beberapa julat masa yang akan datang. Orang yang cepat marah akan mengalami kelesuan dan keletihan. Kemuncak emosi berlaku apabila mengenangkan hubungan yang erat terjalin selama ini terputus akibat perasaan marah yang sedang membara.
Ketika sedang marah, denyutan jantung abnormal. Jika dibiarkan berlangsung berjam-jam lamanya, jantung akan bekerja keras ibarat pelari marathon semasa sukan olimpik. Proses menangani kemarahan merupakan proses mententeramkan emosi dan fizikal yang meletihkan. Oleh itu tanganilah perasaan marah, jangan sampai naik ke kepala.

Salam kakak,
Saya surf internet mencari mengenai solat hajat. Saya terbaca blog akak n very informative. Saya suka baca artikel mengenai marah ni. FYI, saya ni kdg2 cepat marah tapi cepat juga sejuk…cuma ada ketikanya perasaan marah saya tu susah nk padam.
Thanks for the info
Smoga berkat ilmu yang akak kongsikan bersama2
Terima kasih Munirah. Rajin-rajinlah melawat blog akak. Kutiplah seberapa banyak info yang bermanfaat. TK.