Apabila menyebut soal cinta, ramai yang melontarkan senyuman sinis. Pelbagai soalan panas terlontar keluar. Sedang bercinta? Sudah jatuh cinta? Jatuh cinta lagi? Ataupun cinta monyet?

Cinta membawa pelbagai tafsiran yang berbeza. Kemurnian cinta bergantung kepada niat yang terselit di hati orang yang melafazkannya. Adakalanya perasaan cinta yang lahir itu amat unik.

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga m.s 241-242 cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada (negara, orang tua, kebebasan dll) contoh: Walaupun cintanya kepada keamanan sangat kuat tetapi ia tetap mengangkat senjata kalau dicerobohi. Demi cintanya terhadap ibu bapa, Rimpa belajar bersungguh-sungguh agar dapat mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan hidup.

Makna cinta yang kedua ialah perasaan atau berperasaan sangat berahi(asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan. Contoh: Cinta pada suaminya masih kuat bersarang dalam hati setelah 30 tahun hidup bersama.

Cinta juga bermaksud perasaan atau berperasaan dukacita (risau, bimbang, sedih dll). Contoh: Tiada terperikan cintanya serta bercucuran airmatanya setelah menyedari buah hatinya bermain kayu tiga.

Tafsiran cinta yang seterusnya ialah perasaan atau berperasaan ingin akan sesuatu, rindu dll. Contoh: Putera raja itu amat cinta akan burung yang dilihatnya itu.

Cintakan adalah singkatan daripada perkataan cinta akan yang bermaksud mencintai.

Bercinta pula bermaksud menaruh perasaan cinta atau berahi (asyik, kasih, sayang) antara lelaki dan perempuan. Contoh: Elakkan daripada bercinta sebelum lulus peperiksaan. Bercinta juga membawa maksud berat rasa hati untuk melakukan sesuatu (kerana sesuatu sebab yang kurang menyenangkan) Contoh: Kami sangat bercinta untuk pergi ke bank memandangkan lalu lintas yang sangat sesak.

Bercintakan bermaksud menaruh cinta atau kasih kepada, berahi kepada, rindu akan atau ingin akan. Contoh: Ia bercintakan benda yang sukar diperoleh.

Bercinta-cintaan pula bermaksud cinta-mencintai, berkasih-sayang, bercengkerama atau bercumbu-cumbuan antara lelaki dan perempuan. Contoh: Sebelum hati malam, dia bercinta-cintaan dengan tunangannya.

Mencinta bermaksud menaruh cinta atau kasih kepada….atau berdukacita, bersedih hati atau menyesal. Mencintai pula bermaksud mengasihi, menaruh cinta pada, atau merindukan (hendak memperoleh sesuatu dll), mengharapkan, menginginkan. Contoh: Tidak ada orang yang tak mencintai duit.

Tercinta pula bermaksud yang disayangi, dikasihi. Contoh: Jangan pisahkan aku dari anakku yang tercinta. Kecintaan merupakan perasaan kasih, sayang, kesayangan. Contoh: Perkara yang mempertalikan hati suami dan isteri itu ialah kecintaan yang diikat oleh kesetiaan.

Percintaan menceritakan perihal bercinta-cintaan atau berkasih sayang antara lelaki dan perempuan. Contoh: Kahwin itu ialah kemuncak percintaan. Maksud yang kedua ialah perasaan dukacita (sedih, pilu, rindu, menyesal dll), kesedihan, kesusahan. Contoh: Kedua-dua anakanda beginda dipeluk dicium, maka percintaan bonda baginda pun hilanglah.

Pencinta pula merujuk kepada orang yang meminati dan mencintai sesuatu. Contoh: pencinta sastera. Saya merupakan seorang pencinta sastera. Cintamani bermaksud permata bertuah yang boleh menolong tercapainya cinta-cita. Ular cintamani  merupakan sejenis ular yang mendatangkan kebahagiaan kepada orang yang mendapatnya (terutama orang yang sedang berada dalam alam percintaan).

Cintamula merupakan sejenis tumbuhan (pokok), geronggang semut.

Manakala cinta monyet merujuk kepada perasaan cinta yang tidak sungguh, cinta kasih yang keanak-anakan. Kebejatan gejala sosial yang sering berlaku sekarang kerana majoriti mengamalkan cinta monyet. Tanpa mengira peringkat usia, cinta monyet terdorong ke arah kerosakan lagi merosakkan. Media massa sering melaporkan kisah remaja bawah umur telah diperkosa oleh teman lelakinya dan rakan teman lelakinya ketika perjumpaan kali pertama. Perlakuan mereka itu ibarat monyet yang mendapat bunga. Monyet merupakan sejenis binatang yang hampir sama dengan kera.