“Bukan Cinta Pertama” akan berada di pasaran
Posted by W.KursiahDec 23
Wah lega rasanya apabila dapat menyiapkan novel “Bukan Cinta Pertama” sebelum sesi persekolahan 2010/1431H bermula. Masa cuti panjang persekolahn dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyiapkan novel ini dan dua buah novel lagi, kategori kanak-kanak dan remaja untuk pertandingan. Saya membina azam baru sempena menyambut tahun baru hijrah 1431 dengan mencipta kelainan. Menghasilkan tiga buah novel serentak belum pernah saya lakukan. Namun saya pasakkan keyakinan di hati bahawa tiada perkara yang mustahil boleh berlaku dengan izin-Nya. Kunci utama ialah disiplin diri, komitmen padu semua pihak yang terlibat dan rajin berusaha serta tidak mudah bosan. Kerjasama orang tersayang juga menjadi pemangkin kejayaan. Saya akan memastikan bahawa ketiga-tiga buah novel ini dapat diterbitkan sebagai hadiah tahun baru 2010 pula.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana saya boleh menulis tiga buah novel serentak. Mana mungkin kita boleh menulis tiga buah novel serentak. Mustahil! Sebenarnya, saya menulis novel-novel tersebut secara bergilir-gilir. Apabila jemu atau ketandusan idea ketika menulis novel pertama saya beralih ke novel kedua. Sedang menulis novel kedua tiba-tiba datang idea yang berhubung kait novel ketiga, saya akan menyambung novel ketiga pula. Menulis tiga novel serentak merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan mendatangkan kepuasan maksima. Ketiga-tiganya dapat saya siapkan dalam jangka masa satu tahun.
Ketiga-tiga buah novel tersebut membawa tema yang berbeza dan watak utama yang berlainan usia. Novel Kanak-kanak bertemakan kasih sayang antara manusia sesama manusia dan juga manusia dengan haiwan sesuai untuk bacaan kanak-kanak berusia 10 -12 tahun. Novel remaja pula bertemakan perjuangan remaja yang berusia 16 -20 tahun dalam memilih kerjaya dan usaha memacu ekonomi keluarga. Manakala Novel “Bukan Cinta Pertama” juga kategori remaja bermula dari awal remaja hingga usia lewat remaja. Novel ini agak berat dan bersifat motivasi yang membicarakan konsep cinta secara meluas. Bermula dengan cinta monyet sehinggalah tercetus perasaan cinta dalam erti kata yang sebenarnya.
Novel “Bukan Cinta Pertama” lebih menjurus ke arah motivasi individu dan juga keluarga berlatar belakangkan institusi pendidikan bermula di rumah, sekolah, pusat serenti dan juga universiti. Buku ini sesuai dibaca oleh semua pembaca pelbagai peringkat usia dan kerjaya.
Watak Utama ialah Zek Afandi yang merupakan bekas guru yang kini berkhidmat sebagai Kaunselor kanan di Pusat Serenti. Latar tempat utama ialah pusat serenti. Teknik imbas kembali digunakan sepenuhnya melalui sorotan kembali watak utama ke zaman remajanya yang penuh ranjau berduri. Banyak pengalaman suka duka yang dialami sepanjang hidupnya. Namun masa depannya terarah dengan baik kerana walaupun bernasib malang, Zek Afandi sebenarnya bernasib baik. Untuk mengetahui secara mendalam, sila baca novel karya saya ini ya! Terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan impian saya.

Leave a Reply