Tahniah kepada semua warga SMKSN dan AJK Kelab Guru dan Kakitangan sesi 2009. Usaha kita berbaloi. Sambutan hari keluarga berjalan lancar. Seramai 65 keluarga telah membanjiri Pantai Bukit Keluang, Besut. Makanan yang disediakan pun cukup. Mengikut kata katerer, makanan yang disediakan itu biasanya cukup untuk jamuan buffet seramai 350 orang. Adakah seramai itu ahli keluarga kita yang datang? Nampak macam tak ramai. Mungkin juga kerana kawasan perkelahan terlalu luas barangkali!
Permainan, pertandingan dan sukan neka pun menyeronokkan dan mendapat sambutan pelbagai peringkat umur. Kasihan anak-anak ditarik bapa sampai tunggang-langgang dalam larian kasih @ silaturahim. Cuma soalan kuiz tu, betul-betul mencabar minda. Pengetua dan semua GPK dan KB memberikan kerjasama. Terima kasih daun keladi. Seronok sungguh bermain sampai lengoh-lengoh tangan baling bowling kelapa. Tahniah kepada mereka yang berjaya. Tahniah GPKHEM. Anda sememangnya hebat.
Program yang diatur telah berjalan lancar. Sayang sekali, tidak semua dapat hadir. Ada bermacam-macam masalah yang sukar diramal. Bendahari pula demam teruk, beberapa orang Ajk pula ada urusan mustahak di tempat lain. Walau apa pun, terima kasih atas sumbangan awal anlian untuk menjayakan program ini. Tema “Muafakat Membawa Berkat” telah direalisasikan. Syabas dan tahniah!
Pada ahli yang tidak dapat hadir di Pantai Bukit Keluang, sila tuntut cendera hati daripada Pengerusi Kelab. Bahagian anlian masih kami simpan. Cuma makanan tiada lagi. Kalau simpan pun tentu basi.
Program kita masih ada satu lagi iaitu jamuan akhir tahun di Dewan Munsyi pada 3 November. AJK Kelab mengalu-alukan kedatangan anda. Jangan lupa, banyak lagi hadiah dan cendera mata menanti anda yang bertuah. Sumbangan? Macam biasalah! Hulurkan tangan, ringankan beban.
Bunga selasih, lengkuas kantan,
Terima kasih, seluas lautan.
