Dua buah buku himpunan cerpen karyaku dan karya bersama anak-anak telah dilancarkan oleh Pengetua SMK Seri Nering pada 17 Mei 2009 sempena sambutan hari guru peringkat sekolah. Terima kasih, cikgu! Kejayaanku menghasilkan buku karya kreatif adalah lambang kejayaan seorang guru yang selama 30 tahun mengajar sastera dan komsas di sekolah. Telah kujawab pertanyaan anak didikku, “bila cikgu nak tulis buku?” Telah kubuktikan juga bahawa aku tidak pernah berbohong dan bukannya bercakap kosong!
Archive for May, 2009
Paranoid dan Impian Nursiha telah dilancarkan
Author: W.KursiahMay 20
Marah-marah Sayang!
Author: W.KursiahMay 15
Guru; dalam marahnya ada sayang, dalam tegurannya ada nasihat, dalam nasihatnya ada pengajaran.
Pepatah dijadikan pedoman, tunjuk ajar guru dijadikan panduan, penyuluh laluan menuju masa hadapan.
Resmi guru ibarat lilin membakar diri menerangi yang lain.
Impianku berkobar menongkah arus, kerana pada firasatku,
peranan seorang guru ibarat lampu kalimantan, menebar cahaya tanpa sempadan,
sedia berkhidmat tanpa berkira; masa, tenaga dan wang yang berharga dikorbankan
demi membina negara bangsa.
Guruku,
Di hujung jarimu ada ilmu,
di hujung lidahmu aku terpegun kaku,
setiap patah yang kau lafazkan
bertaburan intan dan berlian fakta serta hujah berhikmah,
sepuluh jari kususun menadah, dengan minda terbuka
menerima setiap ilmu yang kau curah,
sebahagian besarnya tidak kutemui dalam nota dan buku.
Jasamu guru tiada ukuran, emas belian nilainya bukan,
Kusimpul hasrat menyempurnakan niat murni para guru
ingin melihat anak didiknya cemerlang bertaraf dunia.
Bunga selasih lengkuas kantan,
Terima kasih, seluas lautan.
Selamat Hari Guru, 2009.
Guru Pembina Negara Bangsa.
Impian Nursiha dan paranoid akan terbit
Author: W.KursiahMay 6
Ibarat menanti kelahiran anak sulung kembar, begitulah terujanya diriku menunggu kelahiran antologi cerpen Paranoid dan Impian Nursiha. Paranoid merupakan himpunan cerpen eceran ilham cipta kami anak beranak. Manakala Koleksi Cerpen Peribadi diabadikan dalam Impian Nursiha. Kenapakah tajuk ini yang dipilih? Jawapannya kerana karya pertama yang menang hadiah pertandingan, pengalaman pertama ketika menjadi guru pada tahun 1980 dan nostalgia ketika zaman bujang yang sentiasa harum mewangi.
Paranoid pula merupakan ketakutan terhadap sesuatu, perasaan was-was dan curiga. Dalam pada itu, cerpen sulung puteriku ini menjadi johan dalam pertandingan peringkat kebangsaan. Paranoid adalah lampias perasaan kami yang masih takut-takut kiranya kedua-dua buah buku berjaya meletup di pasaran. Harganya berpatutan dan murah jika dibandingkan dengan isinya yang sarat dengan mesej dan nilai murni yang boleh diteladani.
Eh! Tak sabarnya menunggu kelahirannya!
