Archive for January, 2009

Cahaya Harapan Semakin Menyerlah

Kisah semalam yang mengelirukan tinggal kenangan. Cahaya pagi yang cerah bersinar membendung harapan bahawa menggilap modal insan cemerlang memerlukan komitmen padu pelbagai pihak. Kemenjadian anak didikku pada hari ini, mencambah benih harapan bahawa mereka sebenarnya berkebolehan. Apa yang mereka perlukan ialah bimbingan dan perhatian. Mereka perlukan perhatian insan yang boleh melicinkan laluan, arah dan tunjuk ajar secara berhemah. Neraca pertimbangan guru berpaksikan kasih sayang dan belas kasihan. Bagai seorang ibu meladeni kerenah anak-anak yang bermacam fiil. Kata nasihat arwah ibu masih kuingat, “Ajari anak-anak dengan hati yang tulus dan mulus. Jangan sekali-kali berkecil hati pada tindakan mereka sehingga menitiskan airmata kerana setiap titis air mata ibu gugur, terbina halangan di sepanjang laluan mereka.” 

Read the rest of this entry »

Hari ini dapat jadual releif kelas 3F (fantasi?) Semangatku berkobar-kobar untuk membantu pelajar yang bakal menduduki PMR akhir tahun nanti. Tanpa pengalaman mengajar kelas menengah rendah, aku cuba turun ke bawah dengan membawa alat bantu mengajar. Mengganti kelas guru matematik tidak semestinya aku mengajar matematik. Apa yang penting, masa selama 40 minit patut diisi secara bijaksana. Pelajar harus belajar dan guru mesti perturunkan ilmu secara berkesan.

           Aku tidak menaruh harapan yang tinggi untuk melestarikan ilmu semacam mana mengajar kelas Premier ataupun kelas rancangan  khas. Misiku kali ini ialah mengenali pelajar secara lebih dekat dan memahami budaya mereka belajar. Sejak di UM aku menjalani kajian budaya tanpa sirna. Aku cuba mengesan kelemahan dalam kalangan pelajar dan mencari punca kenapakah keputusan PMR lalu hanya mencapai 48.8% sahaja. Apakah kelemahan itu hak mutlak pelajar ataupun faktor guru? Saban hari aku mendengar rungutan teman-teman yang mengajar kelas-kelas akhir.

              ”Saya tidak tahu nak ajar macam mana lagi. Mereka tak mahu belajar!” Keluh Cikgu Ayu.

              “Macam-macam usaha saya permudahkan cara, tapi mereka tak juga faham-faham!” Cikgu Ida mencelah.

              “Saya kecewa. Latihan yang saya berikan mereka tak buat. Mereka tidak pernah menunjukkan rasa bersalah ataupun meminta maaf. Mereka tersengih-tersengih dan mengajak saya berbual.” Cikgu Su melontarkan keluhan berat.

              ”Mungkin mereka tidak dapat kuasai 3M. Bantulah mereka dari bawah. Ajar mereka membaca dan memahami apa yang dibaca. Kalau perkara asas mereka tidak faham, mengajar apa pun mereka tidak boleh terima.” Aku memberikan pandangan.      

               “Cikgu nak mengajar kelas kamikah?” Seorang pelajar lelaki menegur setelah aku masuk dan memberi salam.

               “Ya. Kamu tidak mahu belajarkah?” Aku melontarlan soalan.

              “Nak. Tapi kami ini bodoh!”. Terkesima aku mendengar jawapan mereka.

              “Awak yang mengatakan diri awak bodoh. Pada cikgu, semua pelajar sama sahaja.” Komenku.

              “Semua cikgu kata kelas kami ini kelas tercorot. Kami lemah!” Kasihan, bisik hati kecilku. Bagus juga apabila mereka sedar diri. Betulkah mereka sedar diri. Suasana kelas yang hingar menunjukkan mereka masih belum sedar diri. Masing-masing bercakap dan mengeluarkan perkataan yang memanaskan cuping.

              “Apa yang dapat cikgu perhatikan, kamu bukannya bodoh tetapi tidak pandai merebut peluang untuk belajar. Kamu lebih suka bersembang.” Tegurku. “Mesti ada sebab kenapa kamu jadi macam ini.” Ujarku sambil merenung setiap wajah yang berada di hadapanku.

             “Siapa yang sembahyang subuh pagi tadi?” kelihatan hanya 6 orang sahaja yang mengangkat tangan, empat lelaki dan 2 perempuan.

             “Siapa yang tidak pernah sembahyang?” Ada seorang yag mengangkat tangan. “Betul?” Aku mengulangi pertanyaan kerana meragui kejujurannya.

             “Sembahyang juga cikgu sekali-sekala pada hari Jumaat.”

             Masya-Allah! aku sudah kenal pasti puncanya. Apabila tidak sembahyang bermakna mereka tidak pernah berdoa. Macam mana Tuhan mahu menolong makhlok ciptaannya sedangkan mereka tidak pernah berdoa. Majoriti mengaku beragama Islam tetapi nur Islam tiada sampai ke dalam.

            Aku harus berbincang dengan ustaz dan ustazah. Cari pendekatan terbaik untuk pengisian rohani. Pekerti mereka mencerminkan hakikat diri mereka yang sebenarnya. Terfikir aku sejenak. Apakah peranan ibu bapa dan institusi keluarga?