Semalam mesyuarat perancangan tahun 2009 berlangsung dengan jaya. Sebanyak 6 tugas penting terletak di pundak. Hasrat hati untuk merendah diri dan menyendiri tidak kesampaian. Sesungguhnya menjadi ahli biasa lebih baik daripada luar biasa. Namun Sifu sentiasa memberi peringatan bahawa sikap terlalu merendah diri juga bukan amalan yang baik. Menonjolkan diri ke tahap yang melampau juga patut dihindari. Nasihat Sifu, orang yang lebih dahulu makan garam patut dijadikan pedoman. Namun aku telah mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2008 dan hijrah 4029. Semoga hari esok lebih cemerlang daripada hari ini. Namun sebagai manusia biasa, insan seni tidak pernah terlepas daripada gangguan ilusi silam.
Rancangan tahun 2009 telah tersedia. Pelaksanaannya menanti masa yang sesuai. Kupahat azam kukuh di hati untuk membuka lembaran baru yang berkemilau cahaya. Jendela 2009 bakal dibuka dengan sentuhan keramat lagi berhikmah. Jendela maal hijrah 1430 kubuka dan disempurnakan dengan doa akhir tahun, solat hajat, bacaan yassin dan tahlil dan disudahi dengan doa awal tahun dalam majlis ringkas tapi bermakna bersama jemaah di masjid Al-Muqarrabin.
Persiapan menyambut sesi 2009 telah dibuat. Harapan terpahat dihati untuk menuai seberapa banyak hasil usaha sendiri, anak-anak dan juga organisasi yang diwakili. Selamat tinggal 2008 yang mencipta sejarah gundah. Selamat datang 2009 yang bakal mewarnai hidup kami dengan pelbagai kejayaan. Kejayaan pertama pada awal tahun bermula dengan penerimaan ahli baru dalam keluarga kami.
Selamat tahun baru dan selamat pengantin baru, anakandaku Mohammad Kazimi.
Filed under:
Uncategorized
Seminggu lagi tahun 2008 bakal melabuhkan tirai. Lembaran baru 2009 bakal dibuka. Sepanjang 2008 bermula Mac, isu panas muncul satu demi satu. Situasi yang menekan dan tertekan telah menjana idea. Justeru, sebuah demi sebuah cerpenku disiarkan dalam media arus perdana. Lontaran idea bukan sekadar meluahkan perasaan, tapi untuk dijadikan iktibar. Banyak pihak yang suka berkata-kata tanpa berfikir. Ibarat burung tiong diajar bertutur. Apabila ditanya kembali, jawapan yang sama diulang tayang. ‘Orang suruh saya bercakap dan beri pandangan, maka saya pun bercakap. Saya tidak tahu apakah isu yang sedang diperkatakan.’ Apabila minta diulas lebih lanjut, rata-rata menjawab, ‘ Tak tahu. Hanya dengar cerita orang.’ Setelah darjah kepanasan memuncak, aku melangkah keluar meninggalkan bilik yang hangat membahang. Nostalgia menggamit pada adik-adik dan anak-anak yang masih dahagakan ilmu.
Setelah melompat keluar, darjah kepanasan semakin menurun hingga menjadi betul-betul sejuk sepanjang bulan November dan Disember. Kami anak beranak boleh tidur lena berselimut gebar dianyam mimpi indah. Kami bersantai riang meraikan kejayaan. Ahli keluarga kami pula bakal bertambah. Daun pintu dibuka, kehangatan Januari mula dirasai. Januari bakal disambut oleh kaum kerabat dalam suasana mesra dan hangat. Januari semakin panas dengan berita-berita gembira. Insya-Allah.
Filed under:
Uncategorized
Ramai orang suka bercakap. Ramai juga yang suka dengar cakap. Adakalanya cakap-cakap itu lebih cenderung pada mengumpat. Apatah lagi kiranya cakap-cakap itu bertebaran menjadi khabar angin. Sungguh malang kiranya cakap-cakap itu merupakan fitnah. Orang yang bercakap terus bercakap. Orang yang mendengar menyebarluaskan. Untuk melunakkan cerita ditokoh tambah macam cerita penglipur lara yang diperkembangkan dari mulut ke mulut. Tanpa siasatan, tiada bukti tentang kesahihan maka dengar cakap tersebar luas. Di penghujung cerita baru tahu bahawa cakap-cakap itu berupa fitnah. Malang sungguh nasib mereka sekiranya individu yang difitnah tidak tahu dan tidak tampil membuat kenyataan sebenar. Mudah sekali hamba Allah mencipta dosa daripada perbuatan mengumpat dan memfitnah.
Ramai yang tahu hukum. Ramai juga yang tidak cakna tentang hukum. Tidak cakna atau cakduh tentang hukum menyebabkan ramai yang tergelincir. Mereka turut sama menyebar fitnah tanpa sedar. Menurut kamus Dewan, fitnah bermaksud tuduhan (khabar. kisah dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dll. contohnya; ia bercerai kerana fitnah orang. Orang yang mengaku beragama Islam boleh diperangi kalau mereka menjadi pemfitnah. Angkara fitnah Zulaikha, Yusuf telah dipenjarakan. Disebabkan Yusuf dapat mentafsirkan mimpi raja Mesir, lalu Yusuf dibebaskan. Namun Yusuf meminta agar Zulaikha dan perempuan-perempuan yang bersubahat disiasat. Setelah disiasat, Zulaikha mengakui kesalahannya. Kebenaran serta kejujuran Yusuf terbukti, nama baiknya disucikan kembali hasil siasatan dan pengakuan pemfitnah.
Ustaz yang mengajar agama di masjid memberi peringatan, memfitnah hukumnya lebih berat daripada membunuh orang. Kalau membunuh, hanya individu (pembunuh) tersebut sahaja yang patut dihukum tetapi memfitnah melibatkan orang lain yang lebih ramai jumlahnya. Orang yang membuat dan menyebar fitnah mesti ada alasan tersendiri. Ibarat Zulaikha yang mahu menutup perbuatannya yang salah, telah membuat fitnah dan mempengaruhi perempuan-perempuan lain dengan memburukkan nama Nabi Yusuf yang tidak berdosa. Akhirnya Nabi Yusuf selamat dan berjaya disebabkan kesabarannya, kejujurannya dan imannya yang teguh.
Sejarah Nabi Yusuf difitnah amat menyedihkan. Sejak kecil Yusuf telah dikhianati saudara sendiri kerana iri hati pada kelebihan yang ada padanya. Husnul Khaatimah (kesudahan yang baik- mati dalam iman) menjadi milik Nabi Yusuf dan kedua ibu bapanya. Malahan Nabi Yusuf berani meminta jawatan pemerintah. Ayat 55 surah Yusuf menceritakannya. Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaga dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” ayat ini menjadi dalil tentang memuji diri, memperkenalkan diri dan harus meminta satu jawatan pemerintah, jika orang itu sanggup menjalankan keadilan dan hukum-hukum Syara’. Jadilah insan yang mulia, suci hati dan tiada hasad. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan mengatasi segala-galanya.
Filed under:
Uncategorized
Tatkala azan pertama solat Jumaat berkumandang Aisyah@Lili sedang sakit nak beranak. Afi dan Amil memanggilku terus-terusan. Kasihan Aisyah terbaring kesakitan. Ia mengembek berkali-kali. Matanya berkaca merenung padaku bagaikan menagih simpati. Aku merasai jua kesakitan ketika melahirkan. Dua kaki dan muncung anaknya sudah kelihatan. Aisyah meneran berkali-kali tapi gagal. Lendir bercampur darah sudah merembes keluar.
Aku terkenang detik cemas seperti itu. Doktor dan jururawat memberi sokongan moral dan bantuan klinikal. Push! Push! Suara penuh semangat bergema. Aku mengulangi suara itu sambil mengusap perutnya lembut. Aisyah masih muda dan manja. Aku cuba membantu menarik kedua belah kaki yang terjulur.
“Jangan mama, kakinya masih lembut!” Aku menarik tanganku kembali. Kasihan Aisyah. Naluri keibuanku meruntun. Aku menanti detik Aisyah meneran sekali lagi.
“Sabar! Bertenang! Ambil nafas dan teran. Saya akan tolong kamu, Aisyah!” Pujukku. Aisyah mengembek. Kiranya dia faham maksud cakapanku.
Aisyah meneran sekali lagi. Kesakitan ketika melahirkan tidak pernah luput daripada ingatan. Bertambah sakit ketika kepala akan keluar. Aku membantunya dengan mengurut ari-arinya lembut. Ketika azan berkumandang, Aisyah selamat melahirkan seekor zuriat jantan. Rupanya ada iras Baba yang telah selamat menjadi korban sempena Aidil Adha beberapa hari yang lalu.
Pengalaman menyaksi Aisyah beranak telah menginsafi putera-puteriku. “Bukan senang melahirkan insan ke dunia ini.” Mereka melontarkan pandangan.
“Hargailah pengorbanan ibu yang telah melahirkan kamu ke dunia ini. Jadilah insan yang berjiwa dan bertakwa.” Sambungku.
Kami mencapai kata sepakat. Anak yang baru lahir itu kami namakan Baba JR.
Filed under:
Uncategorized
Pada 12 - 14Dis aku dan puteraku Kasyidi dan putriku Knina berbengkel di Hotel Dinasty KL tajaan DBP. Kali ke2 dtg bersama tapi kali pertama berbengkel bersama. Terima kasih DBP kerana menaja kami RM1000 seorang menginap 3hari 2malam di hotel. Kalau Gunung Kinabalu itu tinggi, tinggi lagi cita-citaku untuk melihat kejayaan kami anak-beranak dalam bidang penulisan kreatif. Pendedahan awal lebih baik bagi mereka berbanding diriku yang sudah hampir mahu bersara. Terima kasih Sifu Zaharah Nawawi yang membimbing kami. Amat teruja rasanya ingin melihat karya sulung mereka disiarkan dalam majalah Tunas Cipta. Ini pengalaman pertama mereka. Dalam pahit ada manisnya. Dalam manis ada masamnya. Rasa masam-masam manis amat sedap sekali menjadi ramuan hidup insan seni yang berjiwa sensitif. Putera-puteriku, jadikan pengalaman berbengkel bersama mereka yang berpengalaman sebagai perangsang untuk kamu mencipta kejayaan. Mama nampak kelebihan yang ada dalam atma dan minda kreatif kamu. Sekiranya belakang parang diasah lagikan tajam, inikan pula insan genius seperti anlian. Selamat meneroka alam maya dan ilmu baru dengan gaya tersendiri. Lihat sijil yang kamu peroleh, tafsirlah makna yang tersirat di sebaliknya. Good Luck!
Filed under:
Uncategorized
Novel menganyam mimpi selesai disunting. Dengan penuh harapan, novel tersebut di e-mel ke alaf 21 untuk perhatian Wan Rohana. Sebagaimana panjangnya mimpi yang kuanyam, setinggi itulah jua harapanku untuk melihat novel yang kugarap (bukan yang pertama) berada di pasaran. Anak-anak muridku ramai. Sudah lama mereka ternanti-nanti kemunculan sulung novel ku di pasaran. Jangan tak beli sudahlah. Semoga mimpiku bakal menjadi kenyataan. Segala pahit manis pengalaman insan yang bergelar guru dilampiaskan di dalamnya. Apabila hijab terbuka, tiada lagi yang menjadi rahsia. Kepada Editor Alaf khususnya saudari Wan Rohana kuucapkan selamat membaca dan nilailah novelku itu seadanya.
Filed under:
Uncategorized