Archive for November, 2008

Besut Sudah dilanda Banjir

Air sudah semakin naik. Kawasan rendah sudah ditengelami air. Hubungan kg Raja dan Jerteh pun mungkin akan terputus. Tapi hadapan rumahku sudah beberapa kali banjir. Afi dan Rini, termasuk Pipah dan Widah dah beberapa kali berenang. Adakalanya mereka mengajak Hakim, Ya dan Ma sekali. Beringat-ingat nak, nanti demam. Tak dapat ke K.L nanti. Bila hujan turun tidak berhenti-henti air mudah bertakung. Tapi beberapa jam lepas itu surutlah. sekejap sahaja. Anak-anak sudah tentu seronok dapat berenang. Hatiku bimbang. Kalaulah hujan berterusan, macam mana nak pergi kursus editing di K.L nanti?

Anak-anakku, cuti sekolah datang lagi. Peperiksaan SPM sudah pun selesai. Jangan buang masa dengan sia-sia. Penuhi setiap saat yang berlalu dengan melakukan kerja yang berfaedah. Tolong mama buat kerja rumah. Baca buku teks tahun hadapan. Cikgu bagi buku teks awal, supaya kamu membacanya semasa cuti. Ingatlah bahawa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Orang yang pernah sakit, dapat merasai nikmat yang Tuhan beri. Sakit adalah isyarat supaya kita cepat-cepat bertaubat. Bagi yang berbakat dalam bidang seni penulisan kreatif, masa inilah kamu boleh buat persediaan awal untuk menulis cerita sempena hari guru tahun 2009. Perancangan awal dapat menghasilkan karya yang bermutu agar mendapat perhatian panel penilai. Selamat mencuba. Katakan boleh dan pasti boleh! Jangan letak senjata sebelum berjuang. Semoga berjaya. Insya-Allah!

Tiada kata secantik bahasa, untukku luahkan perasaan. Tiada gambar secantik lukisan untuk ku khabarkan kegembiraan.  Aku menerima sepucuk surat daripada DBP pada pagi ini. Sangkaanku, surat jemputan untuk menghadiri bengkel editing pada 13 dan 14 Dis nanti rupanya mengandungi sekeping cek honorarium. Syukur alhamdulillah, nukilan penaku mendapat perhatian editor. Terima kasih DBP kerana memberikan pengiktirafan terhadap karya seniku. Airmataku menitis. Meskipun nilai RM tidak seberapa berbanding elaun dan gaji bulananku, tapi kepuasan mencipta terpancar di situ.

Cerpen Quran Buruk telah disiarkan dalam Majalah Tunas Cipta keluaran Oktober 2008. Editor DBP telah  menukar persepsi dengan menyiarkan karya penulis baru dalam Tunas Cipta. Baru tidak terhad pada umur penulis, tetapi baru bertunas dalam penghasilan karya kreatif. Aku yang bertunas setelah menghadiri bengkel penulisan untuk bakal pesara tajaan DBP telah menerima manfaatnya. Anak-anakku juga berbakat dalam bidang penulisan kreatif dan akan kubawa bersama untuk berbengkel nanti. Rasanya, belum terlambat untukku mencipta nama sebaris dengan penulis tersohor negara. Akan ku manfaat masa menjelang usia bersara. Aku diberikan galakan oleh mentorku, Sdr Zaharah Nawawi untuk bersaing secara sihat. Terima kasih Sifu. Jasamu akan kukenang hingga ke akhir hayatku.

Pada 1 dan 2 Nov aku terbang ke UKM, Bangi berjumpa dengan Sifu Zaharah Nawawi dan Dr. Mawar Shafie. Aku berbengkel bersama kumpulan profesional. Seronok juga kena kritik. Dapat bermuhasabah diri dan menambahkan ilmu baru serta pengalaman serba baru. Serahkan CD novel ku yang ke6 bertajuk ‘Menganyam Mimpi’ untuk diedit. Besar sekali harapan agar novel ini dapat diterbitkan oleh DBP dengan kerjasama Kepezi.

Paling seronok dapat berjumpa dengan putera dan puteriku. Kami dapat makan bersama-sama dan tidur dalam bilik yang sama. Sekali-sekala bolehlah enjoy tapi kalau kerap boleh bankrap. Bila nak balik ke Besut, pesawat pula delay. Pukul 1.13 pagi baru tiba dirumah. Kesayanganku di rumah masih ramai yang sedang menunggu kepulanganku. Jumpa lagi!